Review serta analisis Lima buah Journal dalam Pendidikan Al-Quran

REVIEW DAN SINTESIS 5 JOURNAL

Tentang Pengajaran dan pembelajaran Membaca Al-Quran

oleh

ENGKIZAR (P51186)

FAKULTI PENDIDIKAN

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

BANGI

2011

1

 

 STUDENTS’ PERCEPTION TOWARD TEACHING TILAWAH Al-QURAN

Mohd Aderi Che Noh & Rohani Ahmad Tarmizi. 2009. Jurnal Pendidikan Malaysia 34(1): 93 – 109

Kajian ini merupakan satu kajian lapangan yang mengkaji tentang persepsi pelajar Tingkatan Dua di sekolah menengah harian Malaysia. Kajian berkaitan dengan amalan pengajaran guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran Tilawah al-Quran. Kajian ini melibatkan seramai 1651 orang responden pelajar. Sampel kajian adalah dipilih secara rawak berstrata dan berkelompok daripada seluruh Malaysia. Zon yang terlibat ialah Zon Utara yang diwakili oleh negeri Perak, Zon Selatan yang diwakili oleh negeri Melaka, Zon Timur diwakili oleh negeri Kelantan, zon Barat diwakili oleh Kuala Lumpur dan Zon Malaysia Timur diwakili oleh negeri Sarawak.

            Adapun reka bentuk kajian ialah dengan menggunakan soal selidik yang dibina oleh penyelidik. Keseluruhan item ialah 69 item yang mempunyai kesahan konstruk yang tinggi. Pelajar dikehendaki memberi respon kepada sejumlah 69 indikator yang berkaitan dengan amalan pengajaran Tilawah al-Quran berdasarkan empat komponen iaitu permulaan pengajaran, perkembangan pengajaran, penutup pengajaran dan alat bantu mengajar. Respon skala likert lima mata digunakan dalam soal selidik. Statistik deskriptif iaitu kekerapan, peratusan dan min digunakan dalam melaporkan dapatan kajian.

            Dapatan hasil kajian pada soalan pertama iaitu tentang persepsi pelajar terhadap amalan pengajaran tilawah al-Quran ialah, sebanyak 26 (1.6%) berada pada tahap rendah. Seterusnya sebanyak 1242 (75.2%) pada tahap sederhana bagi amalan pengajaran guru. Manakala hanya 383 (23.2%) mendapat skor min pada tahap tinggi. Keseluruhannya, skor min amalan pengajaran guru adalah sederhana (3.338).

            Selanjutnya dapatan kajian bagi menjawab objektif kajian kedua iaitu amalan pengajaran guru berdasarkan komponen permulaan pengajaran berdasarkan nilai peratusan. Tahap skor min keseluruhan bagi amalan pengajaran guru berdasarkan komponen permulaan pengajaran berada pada tahap sederhana iaitu 3.461. Dapatan kajian untuk objektif kajian ketiga iaitu mengenal pasti tahap amalan pengajaran Tilawah al-Quran berdasarkan komponen perkembangan pengajaran. Secara keseluruhan tahap skor min amalan pengajaran Tilawah al-Quran berada pada tahap tinggi iaitu 3.670. Seterusnya bagi mencapai objektif keempat dapatan kajian melibatkan pembolehubah amalan pengajaran guru berdasarkan komponen penutup pengajaran menunjukkan tahap min keseluruhan item ialah pada tahap min sederhana (3.271).

            Tegasnya, hasil kajian menunjukkan secara keseluruhan amalan pengajaran Tilawah al-Quran berada pada tahap sederhana (min = 3.338). Manakala tahap min amalan pengajaran berdasarkan komponen menunjukkan komponen permulaan pengajaran (min = 3.461), penutup pengajaran (min = 3.271) dan alat bantu mengajar (min = 2.709) pada tahap sederhana. Manakala komponen perkembangan pengajaran pada tahap tinggi (min = 3.670).

          Secara keseluruhan penyelidik menyimpulkan bahawa. Majoriti amalan pengajaran Tilawah al-Quran bagi guru Pendidikan Islam ialah pada tahap sederhana. Ini berdasarkan pandangan 1242 orang, iaitu 75.2% daripada keseluruhan responden murid. Manakala skor min amalan pengajaran Tilawah al-Quran pada tahap tinggi hanya seramai 383 orang iaitu 23.2% daripada responden pelajar berpandangan demikian. Seterusnya skor min pada tahap rendah pula seramai 26 orang iaitu 1.6%. Tahap skor min keseluruhan amalan pengajaran Tilawah al-Quran bagi guru Pendidikan Islam berdasarkan persepsi pelajar ialah sederhana (3.338).

Implikasi kajian ialah guru Pendidikan Islam perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran pengajaran Tilawah al-Quran yang mereka miliki dengan cara yang paling efektif agar murid dapat menguasai Tilawah al-Quran dengan berkesan.

2

AL-QURAN AWARENESS: REALITYAND CHALLENGES

IN ISLAMIC EDUCATION IN SCHOOLS

Mohd Faisal, Zawawi Ismail, Rahimi Mohd Saad. 2010. Journal for Islamic Educational Studies, (1) 1: 133 – 144.

Journal ini tidak berbentuk sebuah kajian, namun penulis menerangkan dengan terpirinci isu-isu semasa dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran, serta cabaran-cabaran yang akan dihadapi dimasa hadapan, penulis juga mengemukakan hasil-hasil kajian yang telah dilakukan penyelidik sebelumnya bagi mendukung hujah yang disampaikan. Terdapat lima isu utama yang diangkat penulis dalam tulisannya ini iaitu (i) bagaimanakah kolaborasi masyarakat dalam merealisasikan celik al-Quran, (ii) bagaimanakah masa hadapan pendidikan al-Quran, (iii) pendidikan al-Quran signifikan dan pelaksanaannya, (iv) kepentingan belajar dan mengajarkan al-Quran, (v) konsep pengajaran dan pembelajaran al-Quran.

            Penulis merumuskan jawapan terhadap isu pertama: bahawa diantara faktor-faktor penyebab masih wujudnya kelemahan membaca al-Quran di kalangan murid sehingga hari ini ialah (i) murid kurang minat untuk belajar mata pelajaran al-Quran, (ii) tidak adanya penekanan dari pihak sekolah sehingga murid ramai tidak datang pada masa pengajaran dan pembelajaran, (iii) kurangnya peranan ibu bapa dalam mendorong anak untuk belajar al-Quran sama ada di sekolah apatah lagi di rumah. Perkara di atas bertepatan dengan kajian Rosmawati Umar 1993; Mohd Yusuf Ahmad 1997; Fatimah Sudin 2003;) melaporkan masih wujudnya sebahagian murid masih buta baca tulis al-Quran disebabkan kerana mereka tidak didedahkan pembelajaran tilawah al-Quran semasa kecil.

            Bagi menjawap soalan isu kedua penulis merumuskan: Matlamat Pendidikan al-Quran dengan jelasnya membuktikan bahawa ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya mampu memberi kejayaan dalam pelbagai penyelidikan. Ahli sains mengambil al-Quran sebagai asas sains, ahli hukum mengeluarkan hukum daripada al-Quran, ahli falsafah membicarakan falsafah dalam al-Quran dan ahli pendidikan pula mengambil al-Quran sebagai dasar, kaedah, falsafah dan matlamat pendidikan. Oleh itu pendidikan al-Quran mestilah dijadikan teras dan sumber rujukan utama yang mendasari pelbagai aspek kehidupan yang mampu membawa kajayaan terhadap kamajuan tamadun manusia.

            Selanjutnya penulis menjelaskan bagi menjawap isu ketiga: Walaupun pelaksanaan KBSR dan KBSM telah ditubuhkan pada tahun 1994, namun dalam pelaksanaan program tersebut masih perlu dipertingkatkan lagi sama ada dari aspek pedagogi guru, pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran, serta sokongan daripada pihak kerajaan. Dari aspek pencapaian kita boleh berbangga dengan apa yang telah dilakukan sehingga membawa kesan yang baik terhadap usaha celik al-Quran dikalangan murid, ini disokong oleh kajian (Mohd Alwi et al. 2003; Naim 2003; & Daud 2005) melaporkan hasil pencapaian murid dalam membaca al-Quran menggunakan kaedah Iqra pada umumnya memberi kesan baik dalam Tilawah al-Quran.

            Untuk rumusan isu yang keempat penulis menjelaskan: Kepentingan mempelajari serta mengajarkan al-Quran suatu perkara yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Kerana al-Quran merupakan sumber asas dalam pembinaan manusia. Ini selaras dengan apa yang telah dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W melalui hadisnya yang bermaksud: “Orang yang paling baik lagi mulia disisi Allah S.W.T diantara kamu semua ialah orang yang belajar al-Quran kemudian ia mengajarkannya kepada orang lain”. Tegasnya matlamat terpenting pendidikan al-Quran ialah mendidik manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah S.W.T sebagai seorang individu yang boleh berjaya ditengah-tengah kehidupan masyarakat. Manakala bagi seorang muslim mewariskan al-Quran kepada generasi selanjutnya merupakan tugas dan tanggung jawab. Serta mempelajari serta mampu mengajarkan bagi seorang yang mempunyai ilmu dibidang pendidikan al-Quran merupakan amalan pekerjaan yang terpuji lagi mulia.

Selanjutnya pada isu yang kelima penulis menerangkan: Memandangkan pengajaran dan pembelajaran membaca al-Quran melibatkan pengajaran kemahiran, maka mengajar kemahiran perlu menekankan kepada arahan, demonstrasi dan pembaikan kesilapan murid. Disamping itu juga, dalam usaha untuk mewujudkan pengajaran dan pembelajaran berkesan, guru perlu menguasai isi kandungan mata pelajaran dan peka terhadap gaya pembelajaran murid serta strategi pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu konsep pengajaran membaca al-Quran yang berkesan ialah melibatkan peranan guru Pendidikan Islam sebagai murabbi, muallim, muaddib, murshid dan mudarris. Berdasarkan peranan ini, guru bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu dan pelajaran al-Quran semata-mata, malah untuk membentuk pelajar sebagai persediaan kepada kehidupan seterusnya.

3

KEUPAYAAN BACAAN AL-QUR’AN DI KALANGAN PELAJAR TINGKATAN EMPAT:

KAJIAN DI BEBERAPA BUAH SEKOLAH MENENGAH TERPILIH

DI NEGERI TERENGGANU

 

Mohd Yakub @ Zulkifli bin Haji Mohd Yusoff  & Saidi bin Mohd.  2008. Al-Bayan.   Journal of Al-Quran & al-Hadith 1 (6): 1394-3723

Kajian ini dijalankan di Negeri Terengganu yang melibatkan kawasan bandar dan luar bandar. Sekolah-Sekolah yang terlibat dalam kajian ini hanyalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sahaja tidak termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Sains dan Sekolah Menengah Teknik. Sebanyak empat buah sekolah bandar dan empat buah sekolah luar bandar dipilih dalam kajian ini. Subjek kajian melibatkan pelajar melayu Islam dari aliran sains dan sastera yang datang dari pelbagai tahap sosio-ekonomi. Tujuan kajian ini dibuat ialah untuk meninjau tahap keupayaan bacaan al-Qur’an mereka berdasarkan sukatan pelajaran tilawah al-Qur’an tingkatan empat.

            Metodologi kajian ini menggunakan reka bentuk tinjauan. Responden kajian dipilih secara purposif terdiri daripada 320 orang pelajar tingkatan empat lelaki dan perempuan dari aliran sastera dan sains yang datang dari pelbagai tahap sosio-ekonomi yang belajar di sekolah menengah bandar danluar bandar. Data dikumpul dengan menggunakan soal selidik, ujian bertulis dan ujian lisan bacaan al-Qur’an. Data yang dipungut dianalisis dengan menggunakan package SPSS versi 11.5 bagi mendapatkan keputusan keseluruhan prestasi bacaan al-Qur’an responden dan mengenal pasti sama ada terdapat atau tidak perbezaan dan hubungan yang signifikan antara pemboleh ubah bersandar dengan pemboleh ubah tidak bersandar.

            Disamping itu, kajian juga menggunakan dua bentuk analisis data iaitu analisis statistik deskriptif dan analisa statistik inferensi. Analisis statistic deskriptif digunakan untuk menganalisa pencapaian pelajar yang melibatkan pengiraan kekerapan, peratus, purata (min), median, mod, skor minimum, skor maksimum, julat, dan sebagainya berdasarkan hasil ujian. Analisis bentuk kedua ialah analisis inferensi. Fungsi utama statistik inferensi ialah untuk membuat satu anggaran tentang satu indeks populasi dengan menggunakan satu indeks statistik daripada satu sampel yang representatif. Dengan menggunakan indeks statistic daripada sampel tersebut kesimpulan boleh dibuat tentang sifat sesuatu populasi. Ia melibatkan pengiraan ujian-t, Anova, korelasi dan pengujian hipotesis.

            Dapatan kajian berdasarkan analisis keseluruhan yang telah dijalankan, didapati tahap bacaan al-Qur’an di kalangan pelajar yang dikaji tidaklah berada pada tahap yang terlalu lemah. Walau bagaimanapun, kelemahan dan ketidakupayaan sebilangan pelajar untuk membaca al-Qur’an dengan baik dan lancar sebenarnya memang wujud. Pengiraan statistik deskriptif menunjukkan bahawa skor min bagi keseluruhan 320 orang pelajar yang terlibat dalam kajian ini ialah 52.9 dengan sisihan piawainya ialah 42.0. Nilai ini menunjukkan bahawa secara keseluruhan responden yang terlibat dalam kajian ini mempunyai tahap bacaan yang memuaskan

            Walau bagaimanpun, menurut penyelidik secara keseluruhan dapatan kajian memperlihatkan masalah dan kelemahan pelajar dalam bacaan al-Qur’an masih wujud. Kajian menunjukkan masih terdapat pelajar yang gagal dalam ujian bacaan al-Qur’an yang dijalankan dan tidak kurang juga yang mencapai tahap cemerlang. Walaupun pada keseluruhannya peratus kelulusan yang diperolehi agak besar namun kualiti bacaan berdasarkan hukum-hukum bacaan yang ditetapkan masih tidak dapat dibanggakan.

            Perkara sedemikian dapat dilihat melalui pengiraan statistik menunjukkan bahawa daripada 320 orang pelajar yang terlibat dalam kajian ini, seramai 171 orang pelajar (53.4 %) mencapai tahap cemerlang, 25 orang pelajar (7.8%) mencapai tahap baik, 2 orang pelajar (0.6%) mencapai tahap lemah dan 122 orang pelajar (38.1%) berada pada tahap yang mengecewakan dan gagal iaitu sangat lemah. Tahap yang sangat lemah ini sebenarnya daripada segi bacaan al-Qur’an menggambarkan ketidakmampuan pelajar membaca al-Qur’an keseluruhannya atau dengan bahasa yang mudah ialah “buta al-Qur’an”. Ini bermakna masalah dan kelemahan yang dihadapi oleh pelajar dalam aspek bacaan al-Qur’an masih berterusan. Jumlah yang besar (38.7%) dikalangan pelajar yang tidak berkemampuan membaca al-Qur’an ini seolah-olah menunjukkan tidak ada perubahan selama ini pada tahap bacaan al-Qur’an di kalangan pelajar walau pun pada hakikatnya pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengatasi masalah tersebut.

            Selanjutnya pada akhir sekali penyelidik menyatakan bahawa, kita tidak boleh berbangga dengan tahap pencapaian 61.2 % pelajar yang lulus dalam ujian lisan itu. Walaupun pada zahirnya peratus itu agak tinggi (lebih dari separuh) namun pada hakikatnya jika dilihat dari segi mutu bacaan pelajar ini tidaklah begitu memuaskan. Hasil penemuan menunjukkan bahawa mutu pencapaian bacaan pelajar berdasarkan aspek hukum-hukum bacaan yang ditetapkan di dalam kajian ini hanyalah berada pada tahap memuaskan. Ini bermakna tidak ada pelajar yang mencapai tahap cemerlang atau tahap baik dalam semua aspek hukum-hukum bacaan yang dikaji tetapi sebaliknya hanya pada tahap sederhana sahaja.

4

KEBERKESANAN METOD IQRA SEBAGAI

KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MEMBACA Al-QURAN

Mohd Alwi Yusoff, Adel Mohd Abdulaziz & Ahmad kamel Mohamed. 2010. Journal  Studi Al-Quran and Islamic Educations 3 (2): 51-66

Kajian ini dijalankan di 27 buah sekolah di beberapa buah negeri di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan 6 buah sekolah agama swasta. Secara amnya tujuan kajian adalah untuk melihat keberkesanan metod Iqra sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran membaca al-Quran di sekolah-sekolah tersebut. Manakala tujuan utama penyelidik membuat kajian ialah, kaedah Iqra telah lama digunakan guru-guru pendidikan Islam dalam proses pengajaran dan pembelajaran membaca al-Quran, akan tetapi belum terdapat satu kajian yang dijalankan untuk melihat bagaimana kesan metod Iqra terhadap murid dalam membaca al-Quran.

            Metodologi dalam kajian ini diawali dengan kualitatif, penyelidik melakukan lawatan ke sekolah-sekolah berkenaan, kemudian diikuti dengan temu ramah serta dengan guru besar serta guru-guru pendidikan Islam khususnya mereka yang mengajar mata pelajaran Tilawah al-Quran. Selanjutnya dapatan kajian dikumpulkan melalui soal selidik yang dijawab oleh para penyelia, guru, pakar dan murid. Perkara menurut penyelidik agar dapat memperolehi data yang lebih kukuh dan valid.

            Dapatan kajian pada fasa pertama menyimpulkan bahawa, metod Iqra dapat dijadikan sesebuah kaedah alternatif bagi guru dalam pengajaran dan pembelajaran membaca al-Quran serta boleh menghantarkan murid mahir dalam membaca al-Quran, namun hasil dapatan kajian kualitaif melalui temu bual dengan guru ditemukan guru masih menemukan kesulitan-kesulitan dalam proses pembelajaran yang terdapat kaedah tersebut diantaranya:

  1. Tidak ada buku paduan khusus cara pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada didalam buku kaedah Iqra.
  2. Tidak ada kursus insentif berterusan bagi guru-guru.
  3. Naskah buku Iqra tidak mempunyai tarikan-tarikan tertentu, seperti warna-warni.
  4. Kurangnya aktifiti sampingan dalam pengajaran dan pembelajaran

            Disamping itu, masalah lain yang timbul ialah guru-guru kurang mengikuti arahan-arahan yang telah ditetapkan dalam buku pengajaran. Pengiraan statistik menunjukkan 29% sahaja dari guru-guru di sekolah yang dilawati di negeri-negeri, mempunyai rancangan harian terutama yang membabitkan pengajaran Iqra dalam bilik darjah.  Manakala pada aspek pelatihan didapati 35% sahaja guru-guru yang ditemui, pernah menerima latihan dan menghadiri kursus dalam melaksanakan cara pengajaran kaedah Iqra. Sebahagian besar guru tidak pernah mengikuti kursus.

            Dapatan kajian pada fasa kedua melalui soal selidik guru dan murid menunjukkan bahawa, metod Iqra secara keseluruhan memberi kesan baik terhadap pencapaian pengajaran dan pembelajaran al-Quran di sekolah-sekolah kebangsaan di Malaysia dan ianya juga dianggap sebagai sebagai satu kaedah alternatif yang boleh menghantarkan murid boleh mahir dalam membaca al-Quran. Walaupun terdapat beberapa kelemahan dari aspek pelaksanaannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru, yang mana kalau dapat diatasi, maka ia boleh meningkatkan lagi keberkesanannya.

5

UPAYA PENINGKATAN KEMAMPUAN BACA TULIS AL-QURAN PELAJAR 

MENGGUNAKAN METOD IQRO PADA MATA PELAJARAN

AL-QURAN HADITH

(Studi Terhadap Sekolah Menengah di Jawa Timur Indonesia)

 Rendi Abdulrohman. 2010.  International Journal for Islamic Educational Studies (1) 1: 25-34

Kajian dijalankan di sekolah Islamiyah Geluran Taman Sidoarjo, Jawa Timur Indonesia. Responden kajian ini melibatkan seramai 50 orang pelajar tingkatan Dua sekolah Islamiyah Sidoarjo yang terdiri dari 20 orang pelajar laki-laki dan 30 orang pelajar perempuan. Rekabentuk kajian yang digunakan iaitu, Kajian Tindakan (Action Research) atau di Indonesia lazimnya digunakan dengan istilah Penelitian Tindakan Kelas (Classroom Action Research).  Adapun pendekatan yang digunakan oleh penyelidik dalam kajian ini mengikut model Spiral yang dikembangakn oleh Kemmis. Pada mulanya model tersebut sudah diperkenalkan oleh Kurt Lewin pada tahun 1946 seorang ahli psikologi sosial, walaupun pada masa perkembangannya model tersebut berkembang di Eropah, Australia dan USA, namun pada tahun 90an model penyelidikan ini juga telah digunakan oleh para penyelidik dan ahli pendidikan di kawasan asia khususnya di Indonesia.

            Kajian tindakan merupakan suatu kajian yang berbentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan oleh peserta dalam situasi sosial itu sendiri seperti pengamal, guru, sebagai penyelidik melalui tindakan praktik (intervensi) mereka sendiri yang bertujuan untuk membaiki atau meningkatkan kualiti amalan masing-masing, disamping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan. Seseorang penyelidik juga perlu melakukan langkah-langkah yang melibatkan proses  merancang, melaksana, memerhati dan mereflek.

     Prosedur penyelidikan dirancang dalam dua gelung yang meliputi proses  merancang, melaksana, memerhati dan mereflek, pada tia-tiap gelung diadakan evaluasi yang bertujuan untuk penambahbaikan strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan. Manakala instrument kajian yang digunakan adalah hasil daripada ujian post test keseluruhan pelajar pada setiap gelung yang telah dilaksanakan. Untuk mendapatkan data yang lebih kukuh penyelidik juga menggunakan instrument tes formatif, Rencana Pelaksanaan Pembelajaran (RPP), lembaran kertas observasi guru dan pelajar selama berlansungnya kegiatan pengajaran dan pembelajaran.

            Dapatan kajian pada gelung pertama menyimpulkan bahawa, secara keseluruhan berdasarkan hasil tes formatif yang dilakukan terhadap keseluruhan pelajar dalam upaya meningkatkan kemampuan membaca al-Quran menggunakan kaedah biasa ialah 62% sahaja. Perkara ini bermakna pengajaran dan pembelajaran belum lagi mencapai tahap yang dinginkan, dapatan kajian juga menyimpulkan bahwa terjadinya senario di atas disebabkan oleh (i) kaedah yang digunakan tidak dapat menarik minat pelajar, (ii) guru tidak efektif dalam menggunakan masa yang telah disediakan, (iii) pelajar kurang dapat memahami materi mahupun arahan-arahan guru dalam pengajaran dan pembelajaran membaca al-Quran.

            Untuk memperbaiki hasil pembelajaran pada gelung kedua perlu dibuat perancangan yang lebih baik agar mendapatkan hasil pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkualiti. Aktifiti yang dilakukan pada gelu kedua kurang lebih sama dengan yang pertama iaitu meliputi proses merancang, melaksana, memerhati dan mereflek.

            Berdasarkan hasil analisis yang dilakukan melalui hasil tes terhadap semua pelajar, dapatan kajian merumuskan. Bahawa terdapat perubahan yang signifikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakuakan guru yang mencecah angka sampai pada tahap 92%. Perkara menunjukkan adanya perubahan hasil daripada gelung pertama yang semula 62% meningkat menjadi 92%. Kajian juga menyimpulkan pelajar juga lebih mudah mengerti dan merasa seronok dengan arahan-arahan yang diberikan guru dalam pengajaran dan pembelajaran menggunakan metod Iqra.

Sebagai kesimpulan. Berdasarkan hasil analisis kajian yang telah dilakukan penyelidik menyatakan pengajaran dan pembelajaran al-Quran hadith menggunanakan metod Iqra dapat meningkatkan kemampuan pelajar dalam membaca al-Quran, disamping itu, kaedah ini juga dapat meningkatkan kreatifitas pelajar dalam aktifiti pembelajaran dalam bilik darjah. Perkara di atas dapat dibuktikan apabila pelajar diajar menggunakan metod biasa berdasarkan statistik pada gelung pertama kemampuan pelajar hanya berada pada tahap sederhana (62%). Manakala apabila mereka diajar dengan menggunakan metod Iqra analisis statistik menujukkan kemampuan siswa dapat meningkat mencepai tahap cemerlang (92%).

SINTESIS LITERATUR

Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan berfungsi untuk menghasilkan pembelajaran yang efektif dalam bilik darjah (Al-Syaibani 1991; Atan Long 1993; Ahmad Mohd Salleh 1997; Mohd Yusuf Ahmad 2000 dan Mok Soon Sang 2000). Murid hendaklah dilibatkan secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (al-Hashimi 1994 dan Rohizani et al. 2005) dan pengajaran guru juga hendaklah dirancang di samping memberi pertimbangan kepada kepelbagaian murid (Ahmad Mohd Salleh 1997; Mohd Yusuf Ahmad 2000 dan Mok Soon Sang 2000). Apatah lagi dalam pengajaran dan pembelajaran membaca al-Quran, ia mempunyai ciri tersendiri berbanding dengan setiap komponen mata pelajaran Pendidikan Islam.

            Secara amnya, semua journal yang telah diterangkan di atas sama ada berbentuk kajian mahupun dalam bentuk kertas konsep yang memaparkan idea, konsep serta hujah-hujah yang didukung oleh hasil kajian-kajian semasa. secara keseluruhan mengemukakan tiga idea utama yang berkaitrapat dengan proses pengajaran dan pembelajaran al-Quran iaitu (i) strategi guru dalam mempelbagaikan pengajaran dan pembelajaran, (ii) penggunaan kaedah yang tepat bagi menghantarkan pembelajaran berkesan, (iii) serta sikap murid terhadap mata pelajaran tilawah al-Quran.

Oleh itu, memandangkan pengajaran dan pembelajaran membaca al-Quran melibatkan pengajaran kemahiran, maka berdasarkan Rohizani et al. (2005), mengajar kemahiran perlu menekankan kepada arahan, demonstrasi dan pembaikan kesilapan murid. Disamping itu juga, dalam usaha untuk mewujudkan pengajaran dan pembelajaran berkesan, guru perlu menguasai isi kandungan mata pelajaran dan peka terhadap gaya pembelajaran murid serta strategi pengajaran dan pembelajaran (Shulman 1987).

Merujuk kepada amalan pengajaran membaca al-Quran yang berkesan, maka guru juga perlu jelas dari segi strategi, pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan semasa mengajar Tilawah al-Quran. Menurut Abdul Raof (1993) gabungan pelbagai aktiviti pengajaran yang melibatkan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik akan membawa kepada pengajaran yang berkesan.

Berkaitan strategi pengajaran, menurut Ibnu Khaldun (2000), guru hendaklah memastikan setiap isi pengajaran dan masalah yang timbul semasa proses pengajaran dan pembelajaran diselesaikan dahulu sebelum berpindah ke topik lain. Oleh itu dalam pengajaran membaca al-Quran, guru hendaklah memastikan para murid benar-benar dapat menguasai isi pelajaran yang diterangkan oleh guru, agar para murid tidak berterusan gagal menguasai kemahiran bacaan al-Quran dengan sepenuhnya. Setelah guru yakin murid telah berjaya menguasai kemahiran bacaan al-Quran yang diajar, barulah guru berpindah ke tajuk pengajaran yang seterusnya.

Manakala pendekatan yang digunakan untuk mengajar adalah pelbagai, misalnya daripada konkrit kepada abstrak, daripada mudah kepada kompleks, daripada keseluruhan kepada bahagian, daripada umum kepada khusus, daripada spesifik kepada umum, daripada dekat kepada jauh dan daripada diketahui kepada belum diketahui. Kesesuaian pendekatan pengajaran berkait rapat dengan jenis murid dan jenis pengajaran guru (Ahmad MohdSalleh 1997; dan Sulaiman Ngah Razali 1997). Oleh itu untuk amalan pengajaran membaca al-Quran yang berkesan, guru hendaklah memilih pendekatan yang sesuai. Hal ini kerana tidak ada satu pendekatan yang dianggap terbaik untuk satu-satu mata pelajaran bagi semua pelajar dalam semua keadaan. Antara pendekatan dalam pengajaran membaca al-Quran ialah pendekatan induktif, di mana para guru mengemukakan contoh bacaan al-Quran mengikut sesuatu hukum tajwid dan seterusnya para murid mengaplikasikan contoh bacaan guru dalam bacaan al-Quran yang dibaca.

Berkaitan kaedah pengajaran dan pembelajaran, menurut (Mohd Yusuf 2000; Ahmad 1997; Hasan 1981) berpendapat kaedah ialah satu siri tindakan yang sistematik yang bertujuan untuk mencapai objektif pelajaran dengan langkah dan penyampaian yang tersusun. Antara kaedah yang digunakan semasa pengajaran baca tulis al-Quran ialah talaqi dan musyafahah. Tegasnya, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada murid bagi mencapai objektif pengajaran al-Quran, maka ia adalah kaedah.

Ishak (1985) dan Abdul Qadir (1998) mengemukakan berkaitan kaedah pengajaran bacaan al-Quran yang berkesan iaitu berdasarkan empat kaedah. Pertamanya ialah at-Tahqiq, iaitu bacaan yang tenang dan tidak tergopoh-gapah yang bertujuan untuk mengajar dan menghayati kandungan dan hukum-hukum bacaan al-Quran. Kedua, at-Tartil iaitu bacaan yang tenang dan tidak tergopoh-gapah dan bukan untuk tujuan mengajar. Ia dilakukan untuk menghayati kandungan al-Quran. Ketiga, at-Tadwir iaitu bacaan yang sederhana dan tidak terlalu cepat serta mengawasi hukum tajwid. Keempat, bacaan al-Hadar iaitu bacaan cepat serta mengawasi segala hukum tajwid. Walau bagaimanapun kaedah pengajaran bacaan al-Quran hendaklah memberi penekanan kepada kesalahan bacaan al-Quran (Abdul Qadir Leong 1998) yang terdiri dari kesalahan lahnu jali dan lahnu khafi.

Manakala teknik menurut Ahmad (1997) ialah kemahiran dan perlakuan guru dalam pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ia adalah unit-unit kecil yang terkandung dalam sesuatu kaedah. Contohnya teknik dalam pengajaran guru ialah teknik tunjuk cara, teknik menghafal dan latih tubi, teknik bersoal jawab dan teknik bersyarah. Dengan pelbagai teknik pengajaran ini, guru dapat menggunakannya dalam pengajaran membaca al-Quran. Oleh itu, guru hendaklah mengambil kira teknik pengajaran yang sesuai agar wujudnya pengajaran berkesan dan pembelajaran berkualiti. Manakala Azman (1987) mengatakan teknik ialah apa yang dilihat dalam bilik darjah. Sekiranya guru mengajar Bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi yang canggih dalam makmal bahasa, maka ia satu teknik. Begitu juga sekiranya seorang guru mengajar membaca al-Quran dengan menggunakan perisian komputer untuk memperdengarkan bacaan, maka ia dikatakan teknik.

Amalan pengajaran membaca al-Quran yang berkesan juga dikaitkan dengan sifat kreatif guru yang mana bukan sahaja setakat merancang pengajaran, bahkan juga meliputi kreatif semasa proses pengajaran. Amalan ini penting kerana ia akan menentukan daya tarikan minat murid untuk menumpukan perhatian dalam pembelajaran. Ngalim (1990) berpendapat bahawa punca pelajar hilang tumpuan semasa belajar ialah disebabkan oleh cara guru menerangkan dan menggunakan bahan pengajaran yang membosankan. Oleh itu, usaha harus dilakukan agar suasana amalan pengajaran yang kreatif dapat diwujudkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam bilik darjah. Amalan pengajaran membaca al-Quran yang berkesan juga berkait rapat dengan sifat dan ciri-ciri yang dimiliki oleh seorang guru. Al-Nahlawi (1988) menyenaraikan sifat-sifat dan ciri-ciri guru berteraskan ajaran Islam, iaitu pertama, hendaklah segala tujuan, tingkah laku dan pemikirannya bersifat Rabbani, iaitu sentiasa didasari dengan tuntutan Islam. Kedua, seorang yang ikhlas, iaitu segala usaha yang dilakukan adalah bertujuan untuk mendapat keredaan Allah. Ketiga, sentiasa bersabar dalam melaksanakan tanggungjawab jawatan dan tugasnya. Keempat, hendaklah jujur dengan apa yang disampaikan. Antara tanda sifat kejujuran itu ialah guru melaksanakan apa yang diajar. Seterusnya yang kelima, guru hendaklah sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan yang berkaitan serta berbincang mengenainya.

Kesimpulannya. Keseluruhan journal yang telah diterangkan mempunyai  hubungkait dengan kajian yang sedang penulis jalankan diantaranya ialah (i) menggambarkan aspek-aspek kelemahan yang dimiliki oleh guru pendidikan Islam dalam pengajaran Tilawah al-Quran, (ii) Menyempurnakan kelemahan-kelemahan tersebut dengan mencari solusi yang tepat agar dapat menarik minat murid dalam pembelajaran Tilawah al-Quran, (iii) Menambah bacaan serta wawasan penulis tentang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran al-Quran yang telah dijalankan melalui kajian-kajian terdahulu. Serta isu, cabaran-cabaran semasa yang dihadapi para pendidik, orang tua mahupun pelajar itu sendiri, (iv) Memberikan gambaran perkembangan strategi pengajaran dan pembelajaran al-Quran semasa yang dijelaskan oleh para pakar untuk meningkatkan teknik dan kepentingan belajar dan mengajarkan al-Quran di masa hadapan.

Rujukan

Abdul Qadir Leong. 1998. Tajwid al-Quran rasm ’uthmani. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Abdul Raof Dalip. 1998. Teknik pengajaran dan pembelajaran agama Islam di sekolah menengah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ahmad Mohd Salleh. 1997. Pendidikan Islam: Falsafah, pedagogi dan metodologi. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Al-Nahlawi, Abdul Rahman. 1988. Usul al-tarbiyah al-Islamiyah wa asalibuha. Damsyik: Dar al-Fikr

Azman Wan Chik. 1986. Kaedah hayati amali: satu pendekatan mengajar Pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Karya Bistari.

Hassan Langgulung. 1981. Beberapa tinjauan dalam pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Aman.

Ishak Abbas. 1985. Memahami tajwid dan tartil al-Quran. Kuala Lumpur: Sri Kota. Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. 2000. Laporan status kadar celik al- Quran sekolah-sekolah kebangsaan Negeri Sarawak.

Ibn Khaldun. 2000. Muqadimah Ibn Khaldun. Terj. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mok Soon Sang. 2000. Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn.Bhd

Ngalim Purwanto. 1990. Psikologi pendidikan. Bandung: Rosdakarya.

Rohizani Yaakub, Shahabudin Hashim & Mohd Zohir Ahmad. 2005. Pedagogi:     Strategi dan teknik mengajar dengan berkesan. Bentong: PTS Publications &        Distributors Sdn. Bhd.

Shulman, L. S. 1987. Knowledge and teaching: Foundations of the new reform.    Harvard Educational Review, 50.

 

Published in: on November 2, 2011 at 7:01 pm  Tinggalkan sebuah Komentar  

The URI to TrackBack this entry is: http://engkizarquran.wordpress.com/2011/11/02/analisis-lima-journal-pendidikan-al-quran/trackback/

Umpan RSS untuk komentar-komentar pada pos ini.

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

%d blogger menyukai ini: